Sekolah
Menengah Kerajaan Rosli Dhoby telah diasaskan penubuhannya pada
tahun 1973. Kelahiran SMK Rosli Dhoby bukanlah di tapak sekarang
dan kelahirannya juga diberi nama yang lain iaitu Sekolah Menengah
Kerajaan Bandar, Sibu. SMK Rosli Dhoby, pada
awal penubuhannya pernah menumpang di bangunan Sekolah Menengah
Bantuan Tung Hua sebelum mendapat bangunannya sendiri di tapak
sekarang dengan keluasan tanah 18.55 ekar.
Ia
berpindah ke tapak baru sekarang di Jalan Deshon kira-kira 5 km
dari pusat bandar pada Januari 1974. Terima kasih di atas jasa
baik dan kerjasama yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan dan SMB
Tung Hua selama SMK Rosli Dhoby menumpang di situ selama setahun. Pada
peringkat permulaan sekolah ini iaitu pada tahun 1973, hanya dua
buah kelas yang berpengantar Bahasa Inggeris ditawarkan dengan
empat orang guru dan dua kakitangan lain.
Guru
besar yang pertama ialah Encik Shee Fong Yong. Pelajar-pelajar
sulung sekolah ini berjumlah enam puluh dua orang sahaja. Jumlah
ini meningkat kepada tiga ratus lapan belas orang pada tahun 1974
dengan dua belas orang guru. Penambahan pelajar semakin pesat dan
bertambah sekali ganda pada tahun 1975 iaitu dengan kehadiran enam
ratus sembilan puluh satu [691] pelajar dengan 27 orang guru.
Tahun
1975 telah menjanjikan pelbagai peristiwa bersejarah kepada
riwayat hidup sekolah. Tanggal 28 APRIL 1975, menjadi titik
sejarah yang sukar dilupakan. Kehadiran dan kesudian YB Menteri
Pelajaran ketika itu Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah
merasmikan pembukaan sekolah ini. Mulai tarikh tersebut juga nama
sekolah telah ditukarkan kepada nama baru "SEKOLAH MENENGAH
KERAJAAN ROSLI DHOBY". Penggunaan nama baru ini adalah
sempena nama seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Sarawak yang
bernama Rosli Dhoby.
Pada tahun 1977, Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) SMK Rosli Dhoby telah ditubuhkan untuk membantu usaha pihak
sekolah untuk memberi didikan yang sebaik mungkin kepada para
pelajar. Dalam tahun yang sama, Koperasi Rosli Dhoby Berhad telah
diwujudkan. Seramai 70 orang pelajar dalam jurusan sastera telah
menduduki peperikasaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
buat julung kalinya pada tahun 1986. Sementara kumpulan pelajar
tingkatan enam jurusan sains mula diterima pada tahun 1988. |